Sunday, November 30, 2008

pengenalan kepada penyata kewangan

Kesan dari masalah global dan ditambah dengan kenaikan harga barang, anda sebagai peniaga@usahawan kini sukar untuk mendapatkan keuntungan. Antara masalah utama yang di hadapi oleh anda sebagai peniaga atau usahawan adalah modal dalam menjalankan perniagaan.

Di samping itu mungkin anda ada juga mengeluh kerana perkhidmatan yang lambat seperti yang di harapkan serta sikap sambil lewa yang diambil oleh penyedia perkhidmatan di dalam bidang ini.

Perlu di fahami bidang kewangan amat penting untuk semua individu mau pun yang berniaga secara kecil-kecilan hingga lah yang besar. Anda mungkin tidak tahu tentang sistem kewangan sehingga anda ingin membuat pinjaman untuk perniagaan! Bila sudah tahu baru lah anda akan tercari-cari rakan-rakan untuk mengetahui maklumat berkenaan individu yang boleh menyediakan kertas kerja perniagaan.

Anda juga bermasalah bila sudah buat kertas kerja perniagaan, pinjaman yang di impikan tidak dapat diluluskan kerana pelbagai alasan yang di berikan oleh institusi kewangan mahupun bank komersial ataupun pihak kerajaan!

Anda juga bermasalah jika sudah membeli template kertas kerja kewangan atau rancangan perniagaan tetapi hingga bahagian kewangan atau penyediaan akaun untung rugi dan penyata aliran tunai(cash flows projection) kerana anda tidak mempunyai kemahiran tentang aspek kewangan.

Ini kerana kebolehan utama anda sebagai seorang usahawan yang berjaya adalah yang melibatkan apa yang dapat dilihat oleh orang ramai, namun jangan sesekali mengabaikan perkara-perkara yang tidak dapat dilihat oleh orang ramai- iaitu angka-angka perniagaan anda! Di sini letaknya kelemahan anda sebagai usahawan!

Anda selalunya lebih fokus kepada strategi memajukan perniagaan dengan memberi tumpuan kepada pekerja, pelanggan, produk, perkhidmatan dan pemasaran sehinggakan melupakan isu penting iaitu penyata kewangan.

Anda tidak perlu menjadi pakar dalam bidang perakaunan, tetapi, apa yang penting adalah untuk anda fahami penyata kewangan anda. Tugasan mengurus penyata kewangan boleh diagihkan kepada mereka yang lebih bertauliah. Namun, sebagai usahawan yang berjaya, anda perlu memahami pengiraan wang dalam penyata kewangan anda supaya wang yang masuk tidak menjadi wang keluar sehingga menjejaskan keuntungan keseluruhan perniagaan anda!

Anda mungkin mengeluh sekiranya penyedia perkhidmatan kewangan mengenakan caj yang tinggi!Ya!Memang berbaloi kerana untuk menyediakan satu kertas kerja untuk membuat pinjaman perniagaan bukan mudah. Ini kerana ia melibatkan banyak pihak seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Suruhan Syarikat Malaysia dan pihak kerajaan juga!Mau tidak, sekiranya penyata kewangan tidak di buat dengan betul anda sebagai usahawan perniagaan akan mengalami banyak masalah. Sudah la pinjaman tidak lulus malah pihak berkuasa seperti di nyatakan tadi menyerbu premis anda untuk tujuan penyiasatan sekiranya ada fraud@penyelewengan dalam perniagaan anda! Sekali kompaun mau makan beribu-ribu malahan ke jutaan ringgit!

Tidak hairan lah mengapa individu yang bekerja di dalam bidang kewangan di bayar gaji yang tinggi!

Monday, November 24, 2008

Perkara yang perlu seseorang usahawan tahu bila berkecimpung dalam bidang perniagaan atau sebelum memulakan perniagaan

DOKUMEN-DOKUMEN PERNIAGAAN

Perniagaan ialah aktiviti menjual dan membeli barangan atau perkhidmatan

Dokumen perniagaan ialah keterangan atau cacatan bertulis yang sah tentang urus perniagaan yang telah dijalankan

Mengapa dokumen perniagaan penting?
-Ia penting kerana ia mengandungi maklumat tentang jual beli seperti tarikh, butiran barangan atau perkhidmatan, kuantiti dan harga

-Selain itu, ia juga menjadi bukti bahawa perniagaan itu telah dijalankan atau tidak

-Mengandungi pengesahan penerimaan dan pengeluaran barangan dan perkhidmatan

-Menjadi rujukan semasa membuat akaun perniagaan

Mengapa menyimpan dokumen adalah penting?
-Memudahkan mencari dan membuat rujukan

-Lebih terjamin keselamatan dokumen

Cara Menyimpan Dokumen

-Dokumen boleh disimpan secara manual dan elektronik

-Penyimpanan secara manual disimpan dalam fail dan buku rekod

-Penyimpanan secara elektronik disimpan dalam disket atau cakera keras

Jenis-Jenis Dokumen

Jenis-jenis dokumen yang digunakan terbahagi dalam 3 proses:

Sebelum Jual beli-Surat tanya -Katalog -Sebut harga -Senarai harga -Borang Pesanan

Semasa Jual beli-Nota serahan -Invois -Nota debit Nota Kredit

Selepas Jual beli-Penyata akaun -Resit Bil Tunai

Perinciannya:
1. Surat tanya
2. Katalog
3. Sebut harga
4. Senarai harga
5. Borang Pesanan
6. Nota serahan
7. Invois
8. Nota debit
9. Nota Kredit
10. Penyata akaun
11. Resit
12. Bil Tunai

1.Surat Tanya

-Surat yang dikirimkan oleh pembeli kepada pembekal/peniaga

-Surat yang bertanyakan maklumat yang lebih lanjut mengenai barangan yang ingin dibeli

Perkara-perkara dalam surat tanya:
-Jenis barang dan kuantiti barang yang ingin dibeli
-Harga barangan dan syarat pembayaran
-Syarat serahan dan pembayaran
-Tarikh serahan

2.Katalog

-Bahan bercetak dalam bentuk buku atau helaian pamplet/browser
-Perkara-perkara dalam katalog
-Gambar barangan dalam warna
-Nombor rujukan atau kod barangan

3.Sebut Harga

Surat yang dikirimkan kepada membeli yang menyatakan butiran barangan atau perkhidmatan yang ditawarkan

Perkara-perkara penting dalam sebut harga:
-Jenis barangan
-Jenama barangan
-Harga barang
-Kadar diskaun niaga dan diskaun tunai
-Syarat serahan dan syarat pembayaran

4.Senarai harga
Surat yang dikirimkan kepada pembeli yang menyatakan butiran baranga dan harga yang ditawarkan

5.Borang pesanan
Dokumen yang mengandungi maklumat baarang dan harga barangan yang akan dibeli

6.Nota serahan
Dokumen yang mengandungi senarai barangan dan kuantiti barang yang diserahkan

7.Invois
Dokumen yang menyatakan senaran barang kuantiti dan harga serta jumlah bayaran bagi barangan yang telah diserahkan

8.Nota Debit
Dokumen yang dihantar oleh penjual kepada pembeli untuk membetulkan kesilapan yang terdapat dalam invois

9.Nota kredit
Dokumen yang dihantar oleh penjual kepada pembeli untuk memberitahu pembeli telah dikenakan bayaran lebih daripada yang sepatutnya

10.Penyata akaun
Dokumen yang dikeluarkan setiap hujung bulan atau suatu tempoh tertentu yang mennyatakan senarai urusniaga dan pembayaran yang telah dibuat.

11.Resit
Dokumen yang mengandungi maklumat pembayaran dan menjadi bukti penting bahawa pembayaran telah dibuat

12.Bil Tunai
Senarai barangan ,kuantiti , harga dan jumlah pembayaran yang dibuat secara tunai

Maklumat Penting Dalam Dokumen
-Mengenal pasti maklumat penting
-Kegunaan dokumen bagi menyediakan akaun

Thursday, November 20, 2008

asas perakaunan untuk para usahawan

Tanggapan umum mengenai 'syarikat'

Apa itu syarikat? Jika soalan ini ditujukan kepada umum, secara rambangnya anda pasti boleh membuat kesimpulan awal bahawa kebanyakan orang menganggap syarikat itu sebagai, apa sahaja bentuk struktur perniagaan yang dianggotai atau diusahakan oleh dua atau lebih orang yang bermuafakat untuk menjalankan perniagaan bagi memperoleh keuntungan. Sememangnya tanggapan demikian tepat sekali jika dilihat daripada makna perkataan ‘syarikat’ itu sendiri. Walau bagaimanapun tanggapan itu adalah tidak selari dengan sudut pandangan undang-undang, kerana undang-undang tidak menganggap sesuatu pemuafakatan perniagaan oleh dua orang atau lebih itu secara mutlaknya boleh terus dianggap sebagai syarikat. Perkongsian juga adalah satu bentuk pemuafakatan dua atau lebih orang yang membentuk sesuatu firma perniagaan tetapi tidak dianggap oleh undang-undang sebagai syarikat. Sebenarnya yang mencirikan sesebuah struktur perniagaan itu sebagai sebuah ‘syarikat’ bukanlah kerana bilangan anggota yang membentuknya, tetapi kerana ‘kewujudannya’ sebagai suatu ‘entiti’ dan ‘mekanismenya’.

Konsep 'orang' di sisi undang-undang
Undang-undang merujuk 'syarikat' sebagai 'orang. Bukan 'orang biasa' seperti manusia, tetapi adalah 'orang buatan' atau lebih tepat lagi, 'orang buatan undang-undang'. Mengapa undang-undang menganggap syarikat sebagai 'orang'? Apakah yang dimaksudkan dengan 'orang'? 'Orang' di sisi undang-undang mempunyai dua ciri utama: mempunyai hak untuk bertindak, dan mempunyai hak untuk memiliki harta.

Sesiapa sahaja yang mempunyai kedua-dua ciri itu, sama ada 'dia' seorang 'manusia biasa' atau sebuah 'persatuan yang diperbadankan', undang-undang menganggapnya sebagai 'orang'. Dalam zaman mutakhir ini, barangkali semua manusia mempunyai kedua-dua ciri tersebut. Kita sebagai manusia mempunyai hak untuk bertindak di sisi undang-undang untuk mempertahankan hak kita, dan boleh juga diambil tindakan oleh orang lain atas perkara yang sama. Kita juga mempunyai hak untuk memiliki harta sekiranya kita mampu. Barangkali di zaman dahulu, ada manusia yang tidak boleh dianggap sebagai 'orang', iaitu hamba abdi! Seorang hamba abdi tidak mempunyai kedua-dua ciri tersebut; tidak boleh bertindak dan tidak boleh memiliki harta atas namanya sendiri.

Syarikat sebagai 'orang buatan undang-undang'
Syarikat sememangnya mempunyai hak untuk bertindak dan hak untuk memiliki harta ataas namanya sendiri. Syarikat boleh bertindak untuk menguatkuasakan haknya, dan dalam masa yang sama boleh diambil tindakan oleh orang lain yang mempertahankan hak mereka dalam hubungan mereka dengan syarikat, dengan mengambil tindakan unadng-undang ke atas syarikat. Syarikat juga boleh memmiliki harta atas nama syarikat sendiri. Jika syarikat misalnya memiliki sekeping tanah, tanah berkenaan adalah dimiliki atas nama syarikat sendiri, bukannya atas nama pemegang-pemegang syer, pengarah-pengarah atau sesiapa sahaja yang mempunyai hubungan atau kepentingan dengan syarikat. Biarpun anda 'memiliki' keseluruhan syer dalam syarikat, tanah berkenaan misalnya, bukanlah tanah anda, tetapi sebaliknya adalah kepunyaan syarikat.

Peruntukan seksyen 16(5) mengenai konsep 'syarikat'
Barangkali konsep syarikat akan lebih terjelas dengan meneliti peruntukan seksyen 16(5) seperti yang berikut:
"Pada dan mulai dari tarikh pemerbadanan yang dinyatakan dalam perakuan pemerbadanan itu, tetapi tertakluk kepada Akta ini (Akta Syarikat 1965 -p), penandatangan-penandatangan memorandum (Memorandum Persatuan -p) besama-sama dengan mana-mana orang lain yang akan, dari masa ke semasa, menjadi anggota syarikat itu hendaklah menjadi suatu pertubuhan perbadanan (badan korporat -p) dengan nama yang terkandung dalam memorandum itu, yang boleh serta-merta menjalankan segala fungsi sesuatu syarikat yang diperbadankan, dan yang boleh mendakwa dan didakwa, dan yang kekal turun-temurun dan mempunyai meterai biasa dengan kuasa untuk memegangmilik tanah (termasuk harta -p) tetapi dengan apa-apa liabiliti di pihak anggota-anggota itu untuk menyumbangkan kepada aset-aset syarikat sekiranya ia digulung sebagaimana yang diperuntukkan oleh Akta ini."

Tabir pemerbadanan
Syarikat adalah suatu entiti undang-undang. Apakah yang dimaksudkan dengan ‘entiti’? Pada amnya sesuatu itu dianggap sebagai mempunyai ‘entiti’ jika ianya wujud secara sendiri, berasingan daripada orang yang membentuknya, mengurusnya dan menganggotainya. Syarikat adalah suatu entiti yang wujud secara sendiri dan berasingan daripada penaja-penaja yang membentuknya, pengarah-pengarah yang mengurusnya, dan pemegang-pemegang syer yang menganggotainya. Apabila sesebuah syarikat diperbadankan, seolah-olah suatu tabir direntang, yang mengasingkan di antara syarikat dengan penaja-penaja, pengarah-pengarah, pemegang-pemegang syer dan sesiapa sahaja yang berkepentingan dalamnya. Tabir itu mewujudkan suatu 'entiti'. Suatu 'entiti undang-undang yang berasingan'!

Menyingkap tabir pemerbadanan
Apakah sesebuah syarikat itu dianggap sebagai mempunyai 'entiti undang-undang yang berasingan' dalam semua hal-keadaan? Apakah 'tabir pemerbadanan' itu benar-benar kebal? Jawapannya tentulah tidak! Jika dalam semua hal-keadaan, syarikat dianggap sebagai berasingan, pastinya prinsip 'entiti undang-undang yang berasingan' itu akan dipergunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk kepentingan sendiri dan mengeruhkan senario sektor korporat. Kes-kes mahkamah , baik di luar negera mahu pun di negara kita sendiri telah menjadi bukti betapa prinsip itu telah disalahgunakan. Dengan yang demikian, dalam beberapa hal keadaan, undang-undang telah 'menyingkap tabir pemerbadanan' dan melihat realiti di sebalik personaliti korporat setiap syarikat dan mengenal pasti anggota-anggotanya secara individu atau pengarah-pengarahnya daripada syarikat atau menafikan terus 'personaliti berasingan' syarikat, misalnya dengan mengganggap syarikat-syarikat dalam 'syarikat kumpulan' sebagai satu entiti sahaja.

Beberapa peruntukan tertentu dalam Akta dan Akta Cukai Pendapatan 1967 telah menyingkap tabir pemerbadanan, dalam beberapa hal keadaan yang berikut:
Pertamanya, apabila bilangan anggota syarikat menjadi kurang daripada dua orang (kecuali syarikat subsidiari kepunyaan keseluruhan) selama enam bulan atau lebih. Mana-mana anggota yang menyedarinya adalah bertanggungan untuk membayar semua hutang syarikat yang dikontrakkan selepas tarikh tersebut.
Keduanya, semasa di ambang pembubaran, jika kelihatan bahawa perniagaan syarikat dijalankan dengan niat untuk memfraud pemiutang atau untuk tujuan fraud yang lain, mahkamah boleh, dengan permohonan pelikuidasi, mengisytiharkan bahawa mana-mana orang yang secara disedarinya melakukan fraud berkaitan, adalah bertanggungan untuk membuat sumbangan (jika ada) kepada aset syarikat sebagai mana yang difikirkan patut oleh mahkamah.
Ketiganya, semasa di ambang pembubaran, jika kelihatan bahawa pegawai-pegawai syarikat merupakan pihak yang berkontrak dalam hutang syarikat sedangkan mereka mengetahui yang syarikat tidak mungkin mampu membayarnya, mahkamah boleh mengisytiharkan pegawai yang terlibat untuk bertanggungan membayar kesemua atau sebahagian daripada hutang tersebut.
Keempatnya, apabila seseorang pegawai syarikat menandatangani atau membenarkan supaya ditandantangani bagi pihak syarikat apa-apa bil pertukaran, nota janji hutang, cek atau pesanan barangan atau wang, dan nama syarikat tidak dinyatakan dalam huruf yang mudah dibaca atau tidak dinyatakan dengan lengkap, maka pegawai berkenaan adalah melakukan kesalahan dan bertanggungan kepada pemegang dokumen yang tersebut jika syarikat mungkir. Misalnya, jika nama syarikat tidak mempunyai perkataan 'berhad' sebagai sebahagian daripada namanya.
Kelimanya, pengarah-pengarah yang membenarkan pembayaran dividen sedangkan syarikat tidak membuat keuntungan, akan bertanggungan kepada pemiutang hutang syarikat setakat amaun dividen yang melebihi keuntungan berkaitan.
Keenamnya, apabila syarikat adalah berkaitan di antara satu sama lain dan membentuk suatu 'syarikat kumpulan', maka undang-undang dalam hal-keadaan tertentu menganggap syarikat-syarikat dalam kumpulan berkenaan sebagai 'satu entiti' dan bukannya sebagai 'entiti yang berasingan'.
Ketujuhnya, Akta Cukai Pendapatan 1967 menyingkap tabir pemerbadanan sesebuah syarikat apabila 'personaliti korporat' digunakan untuk mengelakkan daripada membayar cukai atau mengelakkan daripada menanggung liabiliti berkaitan dengan pemabayaran cukai.
Selain daripada campur tangan statut, terdapat beberapa kes mahkamah yang membentangkan hal keadaan yang mana tabir pemerbadanan disingkap, antara lainnya sebagai yang berikut:
Pertamnya, apabila mahkamah ingin memastikan sesebuah syarikat itu diperalatkan oleh syarikat lain.
Keduanya, apabila syarikat membeli syernya sendiri dalam suatu cadangan pengambilalihan.
Ketiganya, apabila syarikat induk mengelakkan daripada membayar gaji pekerja syarikat subsidiarinya yang sepatutnya dibayar olehnya.
Keempatnya, apabila syarikat diperbadankan dan didaftarkan untuk tujuan fraud.
Kelimanya, apabila syarikat digunakan sebagai 'selubung' untuk melindungi pengarah-pengarah atau pemegang syernya daripada memenuhi sesuatu kontrak penjualan.
Keenamnya, apabila syarikat diperalatkan untuk mengelakkan seseorang daripada didakwa menjadi pesaing kepada syarikat yang dia menjadi pengarah.
Ketujuhnya, syarikat bersekutu dianggap sebagai entiti ekonomi yang tunggal.
Kelapannya, dalam hal keadaan tertentu, 'pemunya baru' sesebuah syarikat dianggap sebagai bersekutu dengan 'syarikat yang dipunyainya'.
Kesembilannya, apabila terbukti yang sesebuah syarikat subsidiari bertindak sebagai ejen syarikat induknya.
Kesepuluhnya, apabila mahkamah perlu menentukan pemunya sebenar sesuatu aset yang telah ditukarkan pemilikannya kepada syarikat untuk tujuan yang fraud atau lain-lain tujuan yang menyalahi undang-undang.
KEJENISAN SYARIKAT

Ciri-ciri umum syarikat megikut jenis
Sebelum mengambil keputusan untuk memperbadankan sesebuah syarikat, anda perlu terlebih dahulu memutuskan jenis syarikat yang bakal dibentuk. Ini kerana setiap jenis itu mempunyai beberapa ciri yang berbeza dan boleh dimanfaatkan untuk tujuan yang berbeza.
Anda perlu memilih di antara syarikat berhad atau syarikat tidak berhad. Kelemahan utama syarikat tidak berhad ialah, anggota-anggotanya adalah 'bertanggungan sendiri' ke atas hutang syarikat dan oleh itu kurang sesuai dipilih sebagai struktur perniagaan untuk tujuan menjalankan perniagaan. Tetapi jika syarikat yang dicadangkan untuk diperbadankan itu bertujuan untuk memegang hak milik tanah atau pelaburan, status liabiliti tidak terhad itu tidaklah penting, sebaliknya memberi beberapa kebaikan seperti boleh memulangkan modal syer kepada anggota-anggota dan tidak perlu mendedahkan kedudukan kewangan syarikat kepada awam. Dengan ketiadaan liabiliti terhad juga, syarikat boleh diterima oleh pihak tertentu yang berurusan dengan syarikat.
Jika anda memilih syarikat berhad, anda sekali lagi perlu memilih sama ada untuk membentuk 'syarikat yang terhad mengikut jaminan' atau 'yang terhad mengikut syer'. Jika syarikat yang akan anda bentuk itu bercadang untuk beroperasi bukan dengan tujuan memperoleh keuntungan, syarikat yang terhad mengikut jaminanlah yang paling sesuai. Syarikat yang terhad mengikut syer paling sesuai jika anda bercadang untuk membentuk syarikat yang akan menjalankan perniagaan dengan bermotifkan keuntungan.
Sama ada syarikat yang anda pilih berasaskan kriteria berhad atau tidak berhad, sama ada yang 'bermodal syer' atau yang tidak bermodal syer, anda mempunyai dua pilihan lagi, sama ada anda ingin membentuk syarikat persendirian atau awam. Kedua-dua jenis perniagaan ini memenuhi tujuan ekonomi yang berbeza. 'Syarikat awam' bertujuan untuk mengumpul modal daripada orang awam untuk menjalankan perniagaannya. Syarikat persendirian pula kebanyakannya cuma untuk mendapatkan taraf 'personaliti undang-undang' yang berasingan ke atas perniagaan yang dijalankan. Jika anda memilih untuk membentuk syarikat awam sekalipun, adalah lebih baik bagi anda untuk memperbadankan syarikat persendirian terlebih dahulu dan kemudiannya menukarkan statusnya kepada syarikat awam. Cara begini lebih banyak memberikan kebaikan dengan memudahkan beberapa prosedur pendaftaran.
Daripada berbagai jenis syarikat yang tersebut di atas, lebih kurang 98% daripada jumlah syarikat di Malaysia yang pada masa ini berjumlah lebih kurang 310,000 buah, adalah terdiri daripada syarikat yang terhad mengikut syer daripada jenis persendirian. Syarikat yang paling dominan ini sering dirujuk sebagai 'Syarikat Sendirian Berhad'.

Syarikat Sendirian Berhad
Pengertian syarikat sendirian berhad
Jika anda merujuk Akta Syarikat 1965, anda tidak akan temui suatu jenis syarikat yang dinamai sedemikian. Sebenarnya syarikat berkenaan, mengikut istilah undang-undang dikenali sebagai 'syarikat persendirian yang terhad mengikut syer'. Barangkali kerana undang-undang menghendaki supaya syarikat daripada jenis ini dinamai dengan nama yang mesti mengandungi perkataan 'Sendirian Berhad' atau singkatannya 'Sdn. Bhd.' atau 'Sendirian Bhd.' atau 'Sdn. Berhad', orang memilih untuk lebih serasi menamakannya sebagai 'Syarikat Sendirian Berhad'.

Ciri-ciri syarikat sendirian berhad
Selain daripada mempunyai ciri-ciri liabiliti terhad dan bermodal syer, Syarikat Sendirian Berhad mempunyai beberapa ciri khusus yang membezakannya (dan sekaligus mempopularkannya) daripada jenis syarikat yang lain.
1. Batasan pindahmilik syer
Syarikat tidak boleh bebas memindah milik syernya. Biasanya sekatan kebebasan ini dibuat dalam dua bentuk, iaitu dengan memberikan hak membeli dahulu kepada anggota syarikat yang sedia ada sebelum syer boleh dipindah milik kepada orang luar yang masih belum menjadi anggotanya. Sekatan pindah milik syer juga ada kalanya dibuat dengan memperuntukkan di dalam Memorandum atau Perkara-perkara Persatuan bahawa pindah milik hanya boleh dibuat dengan kelulusan lembaga pengarah.
2. Batasan bilangan anggota.
Bilangan anggota syarikat tidak boleh melebihi 50 orang. Bagi tujuan menentukan bilangan anggota syarikat, syer yang dipegang secara bersesama oleh dua orang atau lebih dianggap sebagai dipegang oleh seorang sahaja. Begitu juga pekerja syarikat atau subsidiarinya yang menjadi anggota tidak dihitung dalam menentukan had bilangan anggota-anggotanya.
3. Larangan pelawaan awam mendeposit wang dan memohon beli syer dan debentur.
Syarikat dilarang daripada 'memungut wang' daripada orang awam dengan 'mempelawa orang awam' untuk 'memohon beli syer' atau debentur syarikat atau mempelawa mereka mendeposit wang dengan syarikat.

Ciri-ciri yang dibentangkan di atas menunjukkan bahawa Syarikat Sendirian Berhad lebih bersifat ‘tertutup’ dan terhad kepada perkongsian perniagaan berbentuk keluarga, rakan-rakan terdekat atau dalam bentuk usaha sama yang terhad.

Kejenisan syarikat sendirian berhad
Sesebuah Syarikat Sendirian Berhad boleh merupakan 'Syarikat Persendirian Terkecuali’ atau ‘Syarikat Persendirian Yang Tidak Terkecuali’. Syarikat Persendirian Terkecuali ialah sebuah syarikat persendirian yang anggota-anggotanya bukan sebuah perbadanan. Semua anggotanya terdiri daripada ‘orang biasa’, tidak ada syarikat (atau perbadanan) menganggotainya. Jumlah anggotanya pula tidak boleh melebihi 20 orang. Paling istimewa, syarikat ini, walaupun masih perlu menyediakan akaun tetapi tidak perlu mendedahkannya kepada awam atau tidak perlu menyerahkannya kepada Pendaftar Syarikat, menjadikan maklumat kedudukan kewangannya lebih ‘tertutup’ kepada pengetahuan awam. Jika sesebuah Syarikat Sendirian Berhad berkenaan tidak mempunyai ciri-ciri tersebut, Syarikat Sendirian Berhad berkenaan adalah sebuah Syarikat Persendirian Yang Tidak Terkecuali. Perkataan ‘tidak terkecuali’ itu dengan sendirinya menunjukkan bahawa syarikat masih perlu mengemukakan akaun yang teraudit kepada Pendaftar Syarikat untuk dizahirkan kepada awam.

Bagaimana memperoleh status ‘Syarikat Persendirian Yang Terkecuali’?

'Perakuan Pemerbadanan' syarikat anda tidak memberi pengiktirafan sedemikian rupa. Segalanya bergantung sama ada syarikat anda memenuhi kesemua ciri-ciri yang tersebut di atas dan jika 'Penyata Tahunan' syarikat anda mengandungi satu perakuan oleh pengarah, setiausaha dan juru audit bahawa syarikat anda adalah sebuah Syarikat Persendirian Yang Terkecuali pada masa yang releven. Jika syarikat anda mempunyai anggota yang melebihi 20 orang dan terdiri daripada ‘orang biasa’ (tiada seorang anggotapun yang terdiri daripada sebuah syarikat atau perbadanan), syarikat anda pastinya tidak menghadapi masalah untuk mendapatkan status itu kerana syarikat anda cuma perlu mendapat perakuan daripada pengarah dan setiausaha syarikat. Anda mungkin kadangkala menghadapi masalah untuk mendapatkan perakuan juru audit kerana biasanya juru audit tidak cenderung untuk memperakukan sesebuah syarikat sebagai Syarikat Persendirian Yang Terkecuali.

SYARIKAT BERKAITAN
Hubungan di antara syarikat
Seperti manusia, syarikat juga boleh dikaitkan di antara satu sama lain. Realiti perniagaan akur kepada wujudnya ‘hubungan kekeluargaan’ di antara syarikat. ‘Hubungan kekeluargaan’ di antara syarikat ini diiktiraf oleh undang-undang. Undang-undang merujuk syarikat-syarikat yang mempunyai hubungan kekeluargaan itu sebagai ‘syarikat berkaitan’. Persoalannya, apakah kriteria yang menetukan wujudnya perkaitan di antara sesebuah syarikat dengan syarikat yang lain? Seksyen 6 Akta Syarikat 1965 memperuntukkan bahawa sesebuah syarikat adalah dianggap ‘berkaitan’ dengan syarikat yang lain jika antara kedua-duanya itu wujud ‘perhubungan pemegang subsidiari’ atau jika kedua-dua syarikat berkenaan adalah syarikat subsidiari kepada ‘syarikat pemegang’ yang sama.
Misalnya, jika syarikat B dan syarikat C adalah syarikat subsidiari kepada syarikat pemegang A, maka syarikat B adalah berkaitan dengan syarikat A kerana kedua-duanya mempunyai ‘hubungan pemegang-subsidiari’; dan, syarikat C dan A juga adalah berkaitan kerana mempunyai ‘hubungan pemegang-subsidiari’ juga di antara kedua-duanya. Begitu jugalah keadaannya, syarikat B dan syarikat C adalah ‘berkaitan’ di antara satu sama lain kerana kedua-duanya adalah syarikat subsidiari kepada syarikat pemegang yang sama, iaitu syarikat A.
Pengertian syarikat pemegang dan syarikat subsidiari
Sekali lagi persoalan timbul, kenapa syarikat B dan syarikat C dianggap mempunyai ‘hubungan pemegang subsidiari’ dengan syarikat A? Kenapa syarikat A dianggap sebagai ‘syarikat pemegang’, manakala syarikat B dan syarikat C dianggap sebagai ‘syarikat subsidiari’? Seksyen 5 Akta Syarikat 1965 menjelaskan mengenainya. Berdasarkan contoh di atas, syarikat A adalah ‘syarikat pemegang’ kepada syarikat B (dan juga syarikat C) jika salah satu daripada syarat yang berikut dipenuhi: syarikat A mengawal komposisi lembaga pengarah syarikat B atau syarikat A mengawal lebih daripada separuh kuasa mengundi syarikat B atau syarikat A memiliki lebih daripada separuh modal syer terbitan boleh undi syarikat B atau syarikat B adalah subsidiari kepada syarikat C yang juga adalah subsidiari kepada syarikat A.
Keempat-empat keadaan di atas boleh difahami dengan jelas melalui tiga ujian yang berikut:
Pertamanya, bagi menentukan yang syarikat A mengawal komposisi lembaga pengarah syarikat B, syarikat A perlu mempunyai majoriti dalam mesyuarat agung syarikat B. Ini bermakna A mempunyai undi majoriti dan dengan itu boleh mengawal komposisi lembaga pengarah syarikat B. Walau bagaimanapun, tidak semestinya syarikat A perlu menguasai undi majoriti dalam mesyuarat agung syarikat B, jika Perkara-perkara Persatuan syarikat B memperuntukkan bahawa pengarah-pengarah syarikat B tidak boleh dilantik tanpa persetujuan syarikat A, atau dengan cara yang lain, Perkara-perkara Persatuan syarikat B memperuntukkan bahawa mana-mana pengarah syarikat A adalah secara automatik menjadi pengarah syarikat B. Selain daripada itu, kawalan komposisi lembaga pengarah syarikat B oleh syarikat A boleh wujud jika apa-apa kuasa yang releven yang dipegang oleh syarikat subsidiari kepada syarikat A yang lain (misalnya syarikat C) atau melalui ‘penerima namaan’ adalah diatribut kepada syarikat A dalam menetukan kawalan dalam komposisi lemabaga pengarah syarikat B. Misalnya, syarikat A mempunyai 10% dan syarikat C, sebuah syarikat subsidiari kepada syarikat A juga, mempunyai 20% daripada syer terbitan berkuasa undi dalam syarikat B, maka jumlah syer terbitan berkuasa undi syarikat C dicampur dengan jumlah syer terbitan berkuasa undi syarikat A (iaitu 60%) memberi kuasa kawalan kepada syarikat A sebagai syarikat pemegang kepada syarikat B.
Keduanya, bagi menentukan yang syarikat A memegang lebih daripada separuh modal syer terbitan berkuasa undi syarikat B, hendaklah terdapat suatu atribut daripada syer-syer yang dipegang oleh penerima namaan atau syarikat subsidiarinya kepada syarikat A. Misalnya, syarikat A tidak disenaraikan dalam Daftar Anggota-anggota syarikat B, tetapi syarikat A memiliki 20% modal syer terbitan berkuasa undi atas nama syarikat Y, penerima namaan syarikat A, dan, syarikat X, suatu subsidiari kepada syarikat A, didaftarkan sebagai pemegang 30% modal syer terbitan boleh undi dalam syarikat B. Jadi B adlah subsidiari kepada A kerana kedua-dua pegangan dalam syarikat X dan syarikat Y masing-masing atribut kepada syarikat A walaupun syarikat A tidak menjadi anggota syarikat B. Ini juga kerana syarikat X hanyalah sebuah ‘subsidiari separa milikan’ kepada syarikat A. Andaikan syarikat A memiliki 60% modal syer terbitan boleh undi dalam syarikat X (dan baki 40% dimiliki oleh orang lain), maka semua pegangan syarikat X dalam syarikat B mestilah diatribut kepada syarikat A. Bukan hanya senkadar 60% itu sahaja. Walau bagaimanapun, apa-apa syer atau kuasa yang dipegang atau dimiliki hanya sebagai penerima namaan kepada orang lain tidak boleh diambil kira. Misalnya, andaikan syarikat A memiliki 99% daripada syer terbitan boleh undi dalam syarikat B tetapi syer berkenaan didaftarkan atas nama ‘bank A’ sebagai penerima namaan kepada syarikat A, maka syarikat A sebenarnya merupakan syarikat pemegang, dan bukannya ‘bank A’.
Ketiganya, jika wujudnya ‘struktur piramid’ dalam perhubungan di antara subsidiari-subsidiari dengan syarikat pemegang, maka syarikat pemegang berkenaan dikenali sebagai ‘syarikat ibu’. Misalnya, jika syarikat B dan syarikat C masing-masing adalah subsidiari kepada syarikat A, maka A adalah ‘syarikat ibu’ kepada syarikat B dan syarikat C.

Syarikat pemegang utama
Seksyen 5A Akta Syarikat 1965 memperkenalkan suatu bentuk perhubungan di antara syarikat, iaitu ‘syarikat pemegang utama’ dan ‘syarikat subsidiari kepunyaan keseluruhan’. Syarikat pemegang utama ialah suatu 'perbadanan' yang mempunyai subsidiari tetapi syarikat itu sendiri tidak menjadi subsidiari kepada syarikat lain. Misalnya, andaikan syarikat A tidak menjadi subsidiari kepada mana-mana syarikat lain. Syarikat A akan menjadi syarikat pemegang utama kepada syarikat B dan syarikat C. Sebaliknya syarikat B tidak menjadi syarikat pemegang utama kepada syarikat C kerana syarikat B adalah syarikat subsidiari kepada syarikat A.
Syarikat subsidiari kepunyaan keseluruhan
Seksyen 5B Akta Syarikat 1965 menakrifkan syarikat subsidiari kepunyaan keseluruhan sebagai suatu subsidiari yang mana semua syernya dimiliki oleh syarikat pemegang dan penerima namaannya, syarikat subsidiari kepunyaan keseluruhannya dan penerima namaan kepada syarikat subsidiari kepunyaan keseluruhannya.

JENIS-JENIS SYARIKAT YANG LAIN
Syarikat pelaburan
Selain daripada syarikat berkaitan, syarikat tertentu juga boleh dikategorikan sebagai 'syarikat pelaburan'. Syarikat pelaburan ialah syarikat awam yang diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agung dalam Warta Kerajaan sebagai syarikat pelaburan. Syarikat pelaburan ialah syarikat yang terlibat dalam pelaburan sekuriti boleh pasar dengan motif mendapatkan keuntungan, dan bukannya hanya untuk melaksanakan kawalan.
Kejenisan syarikat, selain daripada yang sememangnya ditetapkan oleh undang-undang, boleh terdiri daripada berbagai jenis, bergantung kepada sudut pandangan anda. Anda barangkali boleh, pada pendapat anda, menjeniskan syarikat sebagai syarikat kecil, sederhana dan besar mengikut saiz jualan, prestasi, bilangan tenaga kerja atau mungkin juga berdasarkan kepada modal syer.

Pertukaran status syarikat
Sepanjang yang berkaitan dengan undang-undang, kejenisan sesuatu syarikat yang telah ditetapkan oleh undang-undang boleh berubah statusnya, misalnya seperti yang berikut: syarikat tidak berhad boleh bertukar status kepada syarikat berhad atau syarikat awam boleh bertukar status kepada syarikat persendirian atau syarikat persendirian boleh bertukar status kepada syarikat awam.
Biar apapun pertukaran status ke atas sesebuah syarikat, identiti sesebuah syarikat berkenaan tidak akan berubah. Jika syarikat anda telah berubah statusnya daripada syarikat persendirian kepada syarikat awam misalnya, identiti syarikat anda tidak berubah. Hak dan obligasi syarikat anda tetap sama seperti sebelumnya. Cuma yang berbeza ialah. barangkali kuasa yang ada pada syarikat anda yang mungkin bertambah atau berkurang, dan obligasi undang-undang yang perlu dipatuhi oleh syarikat anda mungkin semakin membebankan atau mulai berkurangan. Kesimpulannya, perubahan status atau jenis syarikat anda tidaklah menyentuh identiti syarikat anda atau apa-apa hak dan obligasi syarikat anda atau mencacatkan apa-apa prosiding oleh atau terhadap syarikat anda; dan apa-apa prosiding undang-undang yang mungkin telah diteruskan atau dimulakan oleh atau terhadap syarikat anda melalui status (jenis) syarikat anda yang dahulu boleh diteruskan atau dimulakan oleh atau terhadap syarikat anda dengan status (jenis) barunya.

RUJUKAN
A. AKTA SYARIKAT 1965
Seksyen 4, 4A.
Seksyen 5, 5A, 5B.
Seksyen 6.
Seksyen 15 (1)(b).
Seksyen 16 (4), (5).
Seksyen 22 (4).
Seksyen 25 (1), (2), (4), (5).
Seksyen 26 (1), (2), (3).
Seksyen 27 (1), (2), (7).
Seksyen 36.
Seksyen 121(c).
Seksyen 304 (1), (2).
Seksyen 365 (2)(b).
Jadual 8.
B. AKTA CUKAI PENDAPATAN 1967
Seksyen 140 (1).
C. KES-KES MAHKAMAH
Salomon lwn Salomon & Co. Ltd (1897) A.C. 22.
Lee lwn Lee's Air Farming Ltd (1960) 3 All E.R. 420.
Bank Bumiputera Malaysia Berhad & YL lwn Lorren Esme Osman & YL (1988) 1 MSCLC 90,024.
Zizi Press Sdn. Bhd. lwn Sriba Hotels Sdn. Bhd. (1989) 1 MSCLC 90,282.
T. SBP Sdn. Bhd. lwn Director General of Inland Revenue (1988) 1 MSTC 243.
DHN Food Distributors Ltd lwn Hamlets London Borough Council (1976) 1 W.L.R. 852.
Tiu Sui Kian & YL lwn Red Rose Restaurant Sdn. Bhd. (1950-1985) MSCLC 282.
Hotel Jaya Puri Bhd lwn National Union of Hotel, Bar & Restaurant Workers & YL (1950-1985) MSCLC 282.
Aspatra Sdn. Bhd. & YL lwn Bank Bumiputera Malaysia Berhad & YL (1988) 1 MSCLC 90,076.
Gilford Motor Co Ltd lwn Horne (1933) Ch 935.
FG (Films) Ltd, Re (1953) 1 WLR 483.